Rahsia silat-Langkah Seribu

Ramai daripada kita menganggap langkah seribu adalah tindakan lari dan tentulah dikaitkan dengan sifat takut atau kalah. Malah dalam ilmu persilatan juga sering dikiaskan dengan buah langkah seribu adalah yang paling mudah dipelajari kerana hanya perlu berpaling dan pecut lari.

Tapi sebenarnya ‘langkah seribu’ adalah satu tahap yang cemerlang dalam berpencak kerana disini pesilat telah mencapai kemahiran tinggi dan tidak mudah ‘mati’ atau sumbang dalam mengatur langkah. Walau diasak dan diserang hebat dari pelbagai sudut tapi bagi sesiapa yang menguasai rahsia langkah seribu tentu dapat melepaskan diri, insyaAllah. Dalam usaha mencapai tahap sebegini tentu banyak masa serta jurus dan tapak yang mesti dipelajari dan juga perlulah ‘gila’ berlatih silat.

Bagi pesilat muda bersabarlah dalam belajar dan berlatih silat kerana sesuatu gerak dalam silat perlu selalu diamalkan. Cerita pesilat dulu-dulu , belajar langkah tiga pun mengambil masa 2 bulan tapi suasana sekarang sudah berbeza. Tiga atau 4 hari berlatih sesuatu kaedah sudah nampak jemu. Kita patut tahu ‘rasa’ penumbuk yang dilatih seribu kali adalah berbeza dengan ‘rasa’ penumbuk yang dilatih sepuluh ribu kali.

Advertisements

TEAM SILAT OLAHRAGA JERANTUT 2010

PEMILIHAN PESILAT OLAHRAGA PESAKA JERANTUT

PESAKA Jerantut telah mengadakan pemilihan bagi mencari pesilat yang akan dihantar ke pemilihan peringkat negeri di Kuantan pada pertengahan julai nanti. Semua katogeri putera telah dipertandingkan kecuali katogeri puteri hanya melibatkan tiga kelas sahaja. Setiausaha PESAKA daerah dalam ucapan pembukaan menyatakan amat berbangga dengan kehadiran pesilat terutama dalam kelas A hingga F. Pesilat dalam kelas tersebut telah bersaing sengit untuk merebut tempat mewakili Jerantut nanti.

Bagaimanapun dalam ucapan penutupnya Setiausaha PESAKA Jerantut telah mengumumkan yang  beliau telah dimaklumkan oleh PESAKA negeri bahawa hanya kelas A dan G keatas sahaja akan dipertandingkan di Kuantan nanti. Kelas B,C,D,E dan F telah ditutup penyertaannya kerana tempat tersebut telah sedia diisi oleh pesilat dari kontigen SUKMA Pahang. Ini telah  menimbulkan rasa kesal dan kecewa ramai pesilat yang terlibat.

Tindakan PESAKA negeri yang menutup pintu kepada bakat-bakat baru mungkin mengundang beberapa spekulasi. Adalah dibimbangi tindakan ini boleh membunuh minat ramai atlet baru silat olahraga diperingkat daerah. Sepatutnya benarkan ramai pesilat bersaing supaya mereka mempamerkan kebolehan masing-masing.

KUNJUNGAN PENULIS SENIBELADIRI

Pada 27 jun yang lalu , Saudara Cikgu Mazlan Haji Hashim penulis Dunia Senibeladiri dari Majallah Senibeladiri telah mengunjungi gelanggang SSMP. Kedatangan beliau yang bertujuan bertemu dengan guru SSMP Ayahanda Anjang Hassan disamping melihat perkembangan silat di Kg Ulu Cheka telah kami sambut semampunya. Bermula dengan beramah mesra, sessi bergambar pula mengambil tempat dan seterusnya berjamu nasi dan durian.Terima kasih atas kesudian Cikgu Mazlan mengunjungi kami disini.

Tapak Hulubalang

Tapak hulubalang atau dipanggil juga sebagai langkah hulubalang adalah langkah gerak yang dipenuhi dengan makna. Pendita silat Melayu Pahang zaman dahulu telah merumuskan gerak sebanyak lima langkah penuh hikmah yang mana setiap gerak mempunyai makna tersendiri yang menjadi rahsia persilatan gunanya supaya para pendekar tidak leka dan lalai dalam mengingati Rabbul Alami ketika bersilat.

Langkah hulubalang bukan matapelajaran biasa dalam silat tetapi ianya diajar oleh guru hanya pada tertentu dan sesekalisekala sahaja. Terpulang kepada pesilatlah untuk memahi dan mempraktikkannya kerana tapak tersebut tapak berpetua dan tentulah tidak sewenang-wenangnya diperturunkan.Dalam belajar silat guru menaburkan batu,kaca dan permata, semuanya berguna tapi pelajarlah yang menilaikannya.

Senjata Fakir

Suatu masa dahulu seorang tua telah menghadiri kerja untuk majlis kahwin. Kebetulan semasa itu kerbau belum disembelih dan tuan rumah menjemput orang tua tersebut melakukan penyembelihan. Oleh kerana tiada persediaan parang ,orang tua itu meminta parang sembelih dari tuan rumah. Tuan rumah pula secara  seloroh menjawab ‘ sembelih dengan tangan je paktua ‘, kebetulan pula orang ramai disekeliling ketawa dengan seloroh tuan rumah. Terasa dia dipermain-main dengan selamba orang tua itu maju ke hadapan kerbau yang terbaring lantas mengesekkan tangannya keleher kerbau seolah-olah menyembelih dengan parang. Dengan takdir Allah S.n.w kerbau itu mengelupur lalu mati . Terpinga tuan rumah kerana tidak menyangka akibat gurauannya telah menyebabkan kerbau mati tanpa boleh dimakan.

Demikianlah diceritakan orang tentang kehebatan sejenis amalan sesetengah orang lama yang dinamakan senjata fakir. Dinamakan senjata fakir mungkin kerana pengamalnya seolah-olah tidak mampu memiliki senjata yang panjang seperti parang atau pedang justeru itu tangannya melalui amalan ilmu senjata fakir berfungsi seperti pedang yang menetak. Tetakan tangan senjata fakir menyebabkan urat-urat dibahagian yang kena terputus walaupun kulit kelihatan tidak luka . Begitu dahsyatnya tetakan senjata fakir yang dimiliki oleh pengamalnya.

SILAT CEKAK

Silat Seni Melayu Pahang adalah nama yang diberi pada silat yang diwarisi dari seorang guru silat bergelar Tok Chaon. Beliau telah mengajar ilmu silat sekitar tahun 1800 di Mukim tanjung besar. Silat tersebut kemudiannya dikembangkan pula oleh beberapa muridnya dan telah menjadi seni amalan ramai penduduk disekitar tempat tersebut. Salah seorang pembawa silat tersebut adalah allahyarham Awang Nong yang telah meneroka kg hulu cheka pada awal tahun 1900. Di kg hulu cheka inilah Allahyarham telah beberapa kali membuka gelanggang silat dengan bantuan beberapa pembantunya pada tahun 20’an hingga ketahun 60’an.

Menurut beberapa guru tua, Allahyarham telah menamakan silat tersebut silat cekak walau bagaimanapun nama tersebut tidak selalu disebut kerana adalah menjadi kebiasaan bagi penduduk disini nama silat sering disambungkan dengan nama guru yang mengendalikan gelanggang. Lagi pun pada ketika itu tidak ada pendaftaran pertubuhan silat maka nama silat cekak tersebut terus tenggelam  sehinggalah kehari ini.

Perkataan cekak  dalam makna tempatan sebagai menyanggup dengan yakin atau memegang sesuatu. Oleh itu dalam silat ini makna cekak itu adalah mencabar kesanggupan pengamalnya, yakin dengan kebolehan diri sendiri dalam menempuh sebarang dugaan. Begitu tinggi maksud cekak itu sehingga guru-gurunya merendah diri dan amat jarang menyebut silat cekak melainkan kepada penuntut yang bertanya sahaja.